LATIHAN KEBAKARAN PERTAMA SK BAGAN 2010

Wednesday, April 7, 2010


Situasi Semasa Pandemik H1N1 di Malaysia 2010 Sehingga 5 April 2010

Pada 6 April 2010, sehingga jam 10.00 malam terdapat 7 kluster ILI yang dilaporkan seluruh Negara. Kluster-kluster tersebut dilaporkan di tiga negeri dan kesemuanya melibatkan sekolah seperti berikut:

1. Pahang -
  • SM Sains Pekan melibatkan 32 orang pelajar, semua dirawat sebagai pesakit luar.
2. Selangor -
  • SJKC Han Ming, Batu 14, Puchong melibatkan 12 orang murid sekolah, 4 daripadanya adalah positif A(H1N1) dan telah dirawat di hospital serta telah dibenarkan pulang.
  • SM Sains Kuala Selangor, Selangor melibatkan 15 orang murid sekolah dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.
3. Kedah -
  • SJKC Chung Hwa, Kuah, Langkawi melibatkan 46 orang murid sekolah dan dirawat sebagai pesakit luar.
  • MRSM Langkawi melibatkan 17 orang murid sekolah dan dirawat sebagai pesakit luar.
  • SMK Mahsuri, Langkawi melibatkan 56 orang murid sekolah dan semua dirawat sebagai pesakit luar.
  • SRK Bayas, Langkawi melibatkan 54 orang dan kesemuanya dirawat sebagai pesakit luar.

Kecuali bagi kluster di SJKC Han Ming, keputusan ujian makmal bagi kluster-kluster lain di atas belum diterima.

Sehingga jam 5.30 petang 5 April 2010, 118 pesakit baru dengan gejala ILI telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 65 kes telah discaj keluar. Jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh Negara adalah sebanyak 507 kes di 47 buah hospital kerajaan dan 12 hospital swasta. Daripada jumlah tersebut, 36 pesakit (7.1%) merupakan kes Influenza A (H1N1) yang telah disahkan oleh makmal. Sejumlah empat (4) kes Influenza A (H1N1) dirawat di ICU iaitu dua (2) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu (1) di Kelantan dan satu (1) di Selangor. Tiada laporan kematian yang diterima semalam.

Merujuk kepada keadaan semasa, aktiviti ILI telah menunjukkan peningkatan di 3 buah negeri iaitu Melaka, Selangor dan Kedah. Di Kedah, aktiviti ILI masih terhad di Pulau Langkawi. Kementerian Kesihatan telah mengarahkan semua Pengarah Kesihatan Negeri untuk meningkatkan aktiviti pendidikan kesihatan dan pencegahan, khususnya di sekolah-sekolah dan di tempat tumpuan awam. Setiap kejadian ILI di komuniti mesti disiasat dengan serta-merta dan dimaklumkan ke Bilik Gerakan di Kementerian Kesihatan pada hari yang sama. Untuk makluman awam, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian-kejadian kluster pada setiap hari mulai hari ini.

Orang awam sekali lagi diseru supaya tidak panik tetapi sentiasa berwaspada dan menjaga kebersihan diri. Walaupun kejadian kluster ILI meningkat, ia masih terhad di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Pihak pengurusan sekolah khususnya diminta supaya mengaktifkan semula tindakan-tindakan pencegahan yang perlu diambil mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan sebelum ini. Kerjasama dan khidmat nasihat boleh diperolehi dari semua Pejabat Kesihatan Daerah seluruh negara.

Bagi mereka yang mempunyai gejala-gejala ILI hendaklah bersegera ke hospital atau klinik berdekatan. Jika tidak dimasukkan ke wad, mereka hendaklah mengasingkan diri di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat tumpuan awam. Sentiasa menjaga etika batuk dan menutup mulut dan hidung walaupun di rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada ahli keluarga yang lain. Sekiranya langkah-langkah mudah ini diamalkan oleh semua pihak, penularan jangkitan A(H1N1) pasti boleh dibendung seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Kementerian ingin menegaskan, Institut Penyelidikan Perubatan masih terus memantau virus ini dan tidak terdapat tanda-tanda perubahan pada virus berkenaan. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan yang disarankan sebelum ini pasti berkesan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mengekang penularannya.

Di samping itu, mereka yang mempunyai faktor risiko seperti ibu mengandung, pesakit kronik seperti diabetes dan penyakit buah pinggang, pesakit asma dan mereka yang obes hendaklah segera mendapatkan pelalian A(H1N1) di 104 fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh Negara. Senarai fasiliti tersebut boleh diperolehi di laman sesawang di alamat: http://h1n1.moh.gov.my/klinikVaksin.php. Orang awam juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300 daripada jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SERI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia

07 April 2010